Mencari Keredhaan Allah

"Sesungguhnya orang-orang yang taqwa dalam kebun-kebun dan mata air (syurga)." Q.S. Al Hijr:45)

Ahsraf gagal jadi Aleesha meninggal dunia

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, 5 pagi tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Katanya beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.

Ahsraf nak jadi Aleesha meninggal duniaKatanya Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.

Majlis Peguam pertikai langkah kerajaan

Majlis Peguam Malaysia mempertikaikan tindakan Jabatan Imigrasen menangkap dan menghantar pulang peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon baru-baru ini.

Presidennya, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan medianya berkata, alasan jabatan itu kononnya peguam itu melanggar peraturan lawatannya ke Malaysia tidak boleh diterima dan tidak mencukupi.

Beliau mengulas tindakan pegawai Jabatan Imigrasen yang menaiki pesawat yang membawa Bourdon dari Pulau Pinang di KLIA Jumaat lepas dan mengiringinya ke pajabat jabatan itu.

Ketika itu, Bourdon bersama pengiringnya iaitu seorang pegawai Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cythia Gibrel, dan isterinya dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas memberikan ucapannya dalam satu majlis di sana.

Bourdon dijadualkan memberikan ucapan di majlis kutipan dana untuk membiayai tindakan Suaram yang membuka satu kes penyiasatan ekoran dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis.

Bourdon adalah salah seorang peguam yang mewakili Suaram. Beliau dijadual berucap di Dewan Sivik MPPJ dan Ipoh keesokan harinya.

Tindakan kerajaan ini, kata Lim Chee Wee, menyebabkan rakyat membuat kesimpulan bahawa ia dilakukan ekoran ucapannya di Pulau Pinang sebelum itu, berkaitan dengan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam dari syarikat Perancis.

"Majlis Peguam Malaysia menuntut kerajaan Malaysia memberikan alasan yang munasabah secara terbuka ekoran tindakan menghantar pulang peguam Perancis itu untuk menghilangkan keraguan terhadap kes penangkapan dan penghantaran pulang ini.

"Kejadian ini memberikan satu lagi kesan negatif kepada nama Malaysia dalam hak asasi manusia yang melibatkan rakyat asing," kata Lim Chee Wee lagi.

Komisen Scorpene, individu ketiga didedah semasa perbicaraan

Komisen ketiga pembelian kapal selam Scorpene yang dibayar ‘pegawai peringkat tinggi’ kerajaan Malaysia akan didedahkan ketika perbicaraan rasuah itu di mahkamah Perancis, September ini.

Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel sebelum ini mendedahkan bukti baru bahawa komisyen ketiga itu dibayar lebih besar daripada sebelumnya kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, yang berjumlah RM540 juta, lapor KeadilanDaily.

Perimekar dimiliki sepenuhnya Ombak Laut, syarikat Abdul Razak Baginda iaitu kenalan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terlepas dari hukuman gantung kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Penyiasat persendirian yang pernah bertugas dengan Abdul Razak, P Balasubramanian pernah mendedahkan dalam akuan bersumpahnya yang Najib mempunyai hubungan dan turut terlibat dengan pembunuhan itu.

Cynthia ketika dihubungi berkata, perbicaraan di mahkamah Perancis itu juga dijangka mendedahkan individu ketiga yang menaiki penerbangan ke Macau pada 2002.

Individu ‘misteri’ itu bersama Abdul Razak dan Altantuya dikesan menaiki pesawat ke pulau itu bagi urusan pembelian kapal selam berkenaan.

“Melalui mahkamah kita dibenarkan untuk akses kepada dokumen syarikat yang menjalankan urusniaga,” kata Cynthia kepada Keadilandaily.

Menurutnya, Mahkamah Perancis semakin ‘meunjukkan minat’ dalam kes itu ekoran pentadbiran Najib menghantar pulang peguam Wiliam Bourdon yang mengendalikan kes rasuah berkenaan.

“Seperti rakyat Perancis yang terkejut dengan penghantaran pulang William Bourdon, kini mahkamah di negara itu semakin berminat dengan kes ini. Kecenderungan ini sama ditunjukkan oleh mahkamah Perancis seperti kes di Pakistan,” kata Cynthia.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan 11 jurutera Perancis mati dalam serangan bom di Karachi pada 2002. Kejadian tersebut didakwa berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class.

“Jelas ada perkara sulit yang sangat-sangat ingin disembunyikan Najib sampai sanggup ‘menendang keluar peguam hak asasi William Bourdon.

“Suaram juga sedang memikirkan tindakan lanjut akibat keputusan kerajaan tempoh hari,” sambung Cynthia.

Dalam pada itu, beliau tidak pasti sama ada penghantaran pulang William merangkumi arahan sebagai ‘persona non-grata’ iaitu individu yang dihalang dari memasuki Malaysia, atau pun larangan kemasukan bersifat sementara.

“Itu kena tanya Hishamuddin (Menteri Dalam Negeri). Mereka menghalau William tanpa asas yang jelas. Namun, kami akan undang lagi beliau ke Malaysia.

“Apa yang menjadi isu ialah imej Malaysia tercemar teruk. Penduduk di Eropah terkejut dengan tindakan kerajaan dan semakin tertarik untuk terus mengikuti kes ini,” katanya.

Justeru, Cynthia mengalu-alukan sumbangan berterusan rakyat Malaysia kepada Suaram untuk membiayai kes perbicaraan di mahkamah Perancis yang bakal bermula September ini.

Siasatan perhimpunan haram siap minggu ini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin siasatan berhubung perhimpunan haram 9 Julai lalu akan siap minggu ini, bagi membolehkan pendakwaan dilakukan segera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, siasatan masih dijalankan terhadap pihak-pihak tertentu yang masih membuat kenyataan yang tidak benar tentang perhimpunan berkenaan.

"Kita masih siasat tentang isu-isu yang telah dimainkan oleh pihak-pihak tertentu kerana masih terdapat pihak-pihak yang membuat kenyataan dan menayangkan perkara yang tidak benar tentang perhimpunan tersebut.

"Namun saya yakin bahawa kami akan mampu selesaikan siasatan berhubung perhimpunan tersebut minggu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar ”Technology in Crime and Loss Prevention: The New Era” di sebuah hotel, di sini hari ini.

Ismail berkata, beliau telah mengarahkan pegawai-pegawainya agar mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

Ali Rustam membisu bantahan rakyat

Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Melaka, Yusof Wahab melahirkan kekesalan di atas sikap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang membisu dengan bantahan rakyat terhadap keputusan kerajaan negeri yang memberikan kelulusan untuk pusat hiburan melanjutkan masa operasi sehingga jam 3.00 pagi.

Yusof berkata, Mohd Ali sepatutnya tampil memberikan maklum balas kepada rakyat Melaka sama ada bersedia untuk menghadkan masa operasi pusat hiburan atau meneruskan keputusan kerajaan negeri baru-baru ini.

"Kita kesal kerana di saat umat Islam akan menyambut Ramadhan, kita dikejutkan dengan tindakan kerajaan negeri Melaka meluluskan perlanjutan operasi pusat hiburan sehingga pukul 3.00 pagi, baru-baru ini.

"Kita hairan bagaimana pemimpin yang mengaku Islam tetapi tidak tahu halal haram dan tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia," tegas Yusof yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Bukit Katil.

Beliau berkata sepatutnya kerajaan negeri Melaka kalaupun tidak mampu untuk menutup pusat hiburan itu sekurang-kurangnya mereka menghadkan masa operasinya dan juga menetapkan supaya orang-orang Islam diharamkan dari memasukinya seperti yang dijalankan di Kedah.

"Jangan hendak hadkan masa operasi dan hadkan orang Islam jangan masuk sebaliknya kerajaan negeri Melaka dengan biadap melanjutkan lagi operasi pusat hiburan ini seolah-olah mencabar Allah yang menyuruh kita memperbanyakkan ibadat di bulan Ramadhan.

"Tidakkah kerajaan negeri rasa bertanggungjawab kepada rakyat dengan menggalakkan mereka beribadat bukannya memberikan ruang yang luas untuk berhibur di pusat-pusat maksiat ini?" soalnya.

Yusof sekali lagi menggesa kerajaan negeri menarik balik keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri baru-baru di samping membuat keputusan supaya orang Islam di larang memasuki pusat-pusat maksiat tersebut.

Minggu lalu, kira-kira 200 orang umat Islam dan ahli PAS Melaka mengadakan himpunan aman membantah perkara tersebut di hadapan Masjid Bukit Katil.